wrapper

HUBUNGAN ekonomi Malaysia dan Indonesia bakal memasuki era baru apabila kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama, termasuk menambah pelaburan dan perdagangan.

Kerjasama ekonomi itu penting bagi memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Usaha itu juga dapat memastikan hubungan dua hala dua negara jiran yang terjalin sejak sekian lamanya dapat diperkukuhkan.

Untuk tujuan itu, delegasi ekonomi Indonesia ke Malaysia, Maxi Gunawan baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Datuk Mustapa Mohamed selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi bertukar-tukar pandangan tentang usaha sama ekonomi yang boleh menguntungkan kedua-dua negara. Maxi Gunawan yang mempunyai pengalaman luas dalam perdagangan minyak dan komoditi, perbankan, pertanian, hartanah serta pengangkutan dalam sektor makanan dan minuman.

Ikuti temu bual eksklusif bersama Maxi Gunawan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerjasama Antarabangsa, Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia (KADIN) British dan Jawatankuasa Dua Hala Eropah Barat yang hadir ke Malaysia baru-baru ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Tujuan tuan mengadakan lawatan ke Malaysia? Boleh jelaskan?
MAXI GUNAWAN: Hajat kita ke sini sebagai bangsa Melayu, kita ingin melihat bagaimana perkembangan Malaysia. Kita juga ingin melihat peluang pelaburan dan perdagangan yang lain di Malaysia bagi meningkat serta menambah baik usaha sama yang telah terjalin antara kedua-dua negara selama ini.

Kita mahu melihat potensi sebagai anggota Asean kerana Malaysia dan Indonesia sudah lama terjalin hubungan dalam pelaburan dan perdagangan. Setakat ini, usaha sama tersebut belum bertambah. Sebagai ahli Asean, kita mencari peluang tersebut dengan mengutamakan kepada komuniti Asean 2015.

Sebelum ini pun kita juga banyak berbincang atas platform hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi membolehkan kita boleh bergerak bebas pada hari ini. Kita juga membincangkan kesalinghubungan pasaran kita khususnya dalam AFTA (ASEAN Free Trade Area).

Di sini kita lihat potensi itu, selain itu ekonomi Indonesia kini boleh dibanggakan apabila kami diterima sebagai anggota G20 (Kumpulan Dua Puluh Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat). Kenapa tidak kita mempererat dan memperkuatkan hubungan ekonomi masing-masing, di sinilah tujuan saya ke sini.

Saya dimaklumakan oleh seorang ahli perniagaan yang sangat mesra, Tan Sri Ong dari OSK, beliau berpandangan untuk membantu Indonesia khususnya dalam Small Medium Enterprise (SME). SME adalah tulang belakang ekonomi Indonesia dan mungkin di Malaysia tidak punyai banyak SME berbanding negara kami.

Kita inginkan perniagaan seperti OSK dan Khazanah Nasional, perniagaan lokomotif Malaysia yang sudah kukuh di Indonesia. Syarikat baru dari Malaysia yang ingin berniaga di Indonesia kita boleh bantu bagaimana caranya, begitu juga di Malaysia. Kenapa Indonesia mahu berurus niaga di Malaysia sedangkan persekitaran perniagaan juga bagus di sana?

Ia umpama hubungan dua hala ekonomi yang kita inginkan, kita mahu pandangan daripada Datuk Mustapa Mohamed itu kerana beliau juga sering ke Indonesia dan terakhir saya bertemu beliau di Asean-EU Business Summit, di Indonesia dan beliau melihat Indonesia boleh membuat sesuatu yang lebih baik untuk negara Asean.

Kedua-dua ekonomi negara sangat bagus dan kita terbuka dalam bisnes. Untuk tujuan itu, kita tidak mahu bercakap mengenai politik. perniagaan yang boleh dibangunkan secara bersama, boleh merentasi sempadan, dengan kerjasama Indonesia-Malaysia, kita boleh mewujudkan satu jenama, kemudian kita pasarkannya keluar dari Asean dan sebagainya.

Saya akan dengar pandangan beliau mengenai hal ini, kita tahu Malaysia akan hadapi pilihan raya, sebagai ahli perniagaan, kita kena tengok dari sudut positif, saya fikir kekuatan Malaysia-Indonesia itu yang ingin saya tukar pandangan dengan Datuk Mustapa.

SINAR HARIAN ONLINE: Mengapa memilih Malaysia?
MAXI GUNAWAN: Kenapa tidak? Malaysia punyai kekuatannya, juga ada kelemahannya, begitu juga Indonesia. Kerjasama itu bertujuan untuk mencari lokasi pelaburan yang baik di Malaysia. Mungkin di Malaysia terdapat beberapa sektor yang lebih terkehadapan dari segi teknologi dan pembinaan. Kepakaran itu nanti boleh dipindahkan ke Indonesia bagi membantu kami dan boleh menghasilkan produk bersama yang mampu dijual ke pasaran domestik dan luar negara.

Sebagai jiran, kita harus melihatnya sebagai peluang, kelemahan di Indonesia itu adalah dari segi teknologi, kelemahan Malaysia pula kos buruhnya yang tinggi dan sangat kompetetif, kita satukannya menjadi satu produk yang sama-sama kompetetif untuk dipasarkan.

Kita juga akan berbincang dan jalin kerjasama dengan Thailand, Indo-China, Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar sebagai masa depan Asean, kita akan lihat jiran Asean satu persatu, kemudian kita akan jadi sebuah pasaran, kemungkinan hubnya di Indonesia, atau Vietnam, kita mungkin boleh tubuhkan Asean Incorporated dalam menghadapi Asean Plus seperti India, China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand, enam anggotanya.

Saya juga mengikuti perkembangan di Australia dan New Zealand. Mereka juga jiran terdekat kita, sebagai contoh mereka memonopoli pasaran daging di Indonesia dan kita ada kerjasama, jangan jual kepada kita saja, kita boleh jual ke Malaysia dan negara Asean yang lain.

Saya fikir kenapa tidak Malaysia, kenapa tidak Thailand. Itu berbeza kerana kita sama-sama dalam negara Asean, jadi kita mahu lihat semua kekuatan yang kita ada. Tidak semua sektor kita punyai kekuatan, mungkin dalam sektor kelapa sawit.

Kenapa kelapa sawit Malaysia boleh menembusi pasaran Eropah? Kelapa sawit Malaysia lebih kompetitif berbanding Indonesia, dahulunya kita saling berkongsi, malah berkorban sewaktu Eropah menolak komoditi ini. Kenapa tidak kita berperanan sebagai pengasas dalam sektor ini yang mana Eropah kini bergantung kepada kepala sawit kita.

Kita sama-sama memerlukan, kita sentiasa berpegang kepada konsep menang-menang antara dua negara, kita ada kemahuan yang sama. Jadi kita tidak perlu ego, tidak perlu bersaing sesama sendiri, sebaliknya bekerjasama bagi menghadapi dunia global yang semakin mencabar.

Kelebihan Indonesia ialah kami mempunyai pasaran yang besar, semua (produk) masuk ke sana. Jika membuat pelaburan di Malaysia mungkin tidak terasa kerana banyak kelebihan dan sudah sedia kompetetif berbanding negara lain.

Selain itu, kadar faedah bank bagi pembiayaan kredit di Indonesia itu tinggi, jika ada pun dengan kadar faedah 11 peratus, itu pun sudah cukup bagus. Tetapi jika di Malaysia mungkin lebih rendah, dua hingga tiga peratus saja faedah kredit yang dikenakan dan lebih kompetitif.

Indonesia mungkin jauh ketinggalan dari segi logistik dan infrastruktur. Sebab itu kita sedang mengenal pasti usaha sama yang saling menguntungkan kedua-dua negara dan membantu kerana kitakan sama-sama Melayu.

SINAR HARIAN ONLINE: Mungkinkah dengan kerjasama Malaysia-Indonesia ini dalam bidang ekonomi ini dapat menonjolkan negara Asean sebagai pemain ekonomi alternatif selain Asean Plus atau negara maju lain di samping kelemahan ekonomi di negara Eropah?
MAXI GUNAWAN: Kalau ikut hukum ekonomi, kadang kala kita berada di atas, kadang kala kita berada di bawah, ia umpama putaran hidup. Ekonomi di Eropah sekarang mungkin merundum, tidak dinafikan kita juga menerima kesannya. Eksport kita agak rendah kerana kadar permintaan yang kurang. Walaupun mereka masih menggunakan sumber kita, namun pelaburan mereka ke Indonesia semakin bertambah.

Kita juga memerlukan hab pelaburan dan perniagaan di Eropah. Saya berkeyakinan tinggi bahawa ekonomi di Eropah termasuk di seluruh dunia akan kembali pulih tidak lama lagi. Walaupun pelaburan kita semakin meningkat namun perdagangan kita pula berkurangan. Kita mempunyai destinasi lain seperti Afrika Selatan dalam urusan pertukaran eksport buat sementara waktu.

Di China pula, kita mempunyai masalah eksport arang batu kita ke sana kerana permintaan tidak seperti sebelumnya, eksport ke China juga merudum, ini adalah situasi global yang kita perlu memikirkannya.
Momentum yang kita kena lihat lagi bagaimana caranya sekarang ini kita perlu persiapkan, apatah lagi Asean, ekonomi kita juga agak perlahan, kita pun banyak eksport dan import dalam sektor makanan.

Kita bersama kerajaan sedang mengkaji semula peraturan dan syarat-syarat lain dalam perdagangan, kita akan naik lagi, memang sekarang kita serang merundum sedikit namun ia adalah momentum yang baik untuk kita pertahankannya.

SINAR HARIAN ONLINE: Sejak Republik Indonesia sebagai sebuah negara demokrasi, ekonomi Indonesia semakin bagus dan mendapat perhatian dunia, memandangkan penduduk di Indonesia begitu ramai. Bagaimana momentum itu dilihat oleh negara Asean yang lain?
MAXI GUNAWAN: Sudah pasti Indonesia sentiasa bersiap sedia ke arah itu. Pelbagai langkah telah dilakukan bermula dengan undang-undang pelaburan, undang-undang perbankan dan sebagainya. Kita mula melihat kepada pengeluaran yang mempunyai nilai tambah bukan saja kepada bahan mentah semata-mata.

Kita juga sudah mempersiapkan ‘blue print’ di mana kita ada ‘master plan’ yang sudah ditetapkan. Bagaimanapun ia memerlukan dana yang besar. Buat masa ini, dana itu datang dari swasta, kerajaan dan pelabur asing.

Kita tidak boleh samakan infrastruktur Malaysia dengan Indonesia kerana di negara kami banyak pulau, seperti Kepulauan Jawa. Infrastukturnya masih lemah, hanya ada pengangkutan darat selebihnya menggunakan kapal laut.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah sektor utama yang menarik minat Indonesia untuk bekerjasama dengan Malaysia?
MAXI GUNAWAN: Pertama kali ialah infrasturktur, kedua ialah pertanian dan ketiga ialah sektor kesihatan yang mana Indonesia begitu banyak mengeksport produk kesihatan ke Malaysia dan Singapura kira-kira $2 bilion dan mungkin lebih. Selain itu, kita berminat dalam sektor pendidikan.

Untuk tujuan itu, universiti-universiti di Indonesia membuat program pertukaran pembelajaran tentang banyak perkara dengan Malaysia. Kita juga berminat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Malaysia ada air tapi jual ke Singapura, kita (Indonesia) pun ada air melalui air hujan, namun negara kami tidak boleh jual air hujan, sebab kita buang begitu saja.

Sebab itu, kita mahu bekerjasama. Satu hari, kita akan mempunyai masalah dengan air, sekarang masih OK. Dalam sektor teknologi, kita boleh lakukan kerjasama, tapi sebelum itu, kita perlu tumpu kepada infrastruktur, pertanian, pendidikan dan ‘renewal energy’. Tenaga boleh diperbaharui ini seperti tenaga solar, hidro mikro, tetapi di Indonesia 'photovoltaic solar' menjadi tumpuan kita daripada tenaga angin sepertimana yang digunakan di negara Eropah.

SINAR HARIAN ONLINE: Berapakah nilai pelaburan antara kedua-dua negara ini?
MAXI GUNAWAN: Secara prinsipnya pelaburan kedua-dua negara ini akan bertumbuh dengan lebih seimbang.

SINAR HARIAN ONLINE: Sepertimana yang kita tahu, ramai ahli perniagaan Malaysia membuka cawangan di Indonesia. Adakah kerajaan Indonesia memberi pelepasan cukai atau memberi insentif kepada pelaburan luar khusus dari Malaysia?
MAXI GUNAWAN: Di Indonesia kita ada Lembaga Penyelaras Pelaburan, sebarang pelaburan ke Indonesia dalam sektor tertentu, ada banyak insentif yang diberi kepada pelabur asing, jika tengok perbandingan di negara Asean yang lain, kita boleh lihat sesetengah sektor di Indonesia perlu diberi insentif yang lebih.

Dasar kita sangat terbuka, perbandingan sangat jelas antara 10 negara anggota Asean, seperti dari segi insentif kita lihat Myanmar beri 100 peratus pelaburan dalam sektor ICT, Malaysia beri 49 peratus, Singapura pula beri 100 peratus dalam sektor pelancongan. Kita memperjuangkan ekonomi kita di luar Asean, kita jalin usaha sama dengan Asean Plus 6 untuk menjadi gergasi bersama enam jiran negara anggota Asean lain.

SINAR HARIAN ONLINE: Apa pula minat Malaysia terhadap Indonesia?
MAXI GUNAWAN: Malaysia terkehadapan dalam sektor pertaniannya. Sebelum ini, Malaysia lebih berminat mencari tanah di negara kami, untuk kembangkan penanaman kelapa sawit. Selain itu Malaysia telah membuka bank cawangan banknya di Indonesia seperti CIMB Bank dan Maybank.

Tetapi dalam bidang pertanian seperti kelapa sawit, Indonesia punyai kelebihan kerana tanahnya banyak, berbanding Malaysia yang tiada tanah lagi. Kenapa tidak kita bekerjasama? Malaysia boleh manfaatkan tanah di negara kita, bukan saja kelapa sawit, mungkin padi dan sebagainya. Malaysia sudah dapat apa yang diinginkan, Indonesia saja belum dapat.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dalam sektor teknologi?
MAXI GUNAWAN: Malaysia mempunyai Lembah Silikon mungkin boleh diadaptasikan di Indonesia, dengan kata lain kalau boleh Malaysia memindahkan teknologinya ke Indonesia selain pembangunan kapasiti. Kita boleh bekerjasama dengan beberapa universiti di Indonesia untuk melihat kemungkinan Lembah Silikon boleh dilaksanakan di negara kami juga.

Kita perlu ingat bahawa Indonesia merupakan pengguna internet terbesar di dunia termasuk Yahoo, Google, Twitter, telefon bimbit dan pelbagai jenama lain IT yang boleh didapati di sini. Namun kita masih kekurangan pembangunan kapasiti seperti Lembah Silikon, secara dasarnya kita memerlukan antara satu sama lain.

SINAR HARIAN ONLINE: Dengan kerjasama ekonomi Malaysia-Indonesia ini, adakah akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan kelak?
MAXI GUNAWAN: Kalau Malaysia dan Indonesia boleh bekerjasama dalam bidang ekonomi sama ada pelaburan atau perdagangan, mungkin akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan bukan sahaja kepada rakyat tempatan bahkan kepada rakyat Malaysia juga.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaiamana dengan kadar pengangguran di Indonesia?
MAXI GUNAWAN: Angka pengangguran mulai turun, kira-kira empat peratus pada tahun lepas. Tahun ini, saya kurang pasti, susulan demonstrasi pekerja kerana tuntutan bayaran gaji minimum di mana satu kawasan itu berbeza dengan tempat yang lain. Isu buruh ini harus ada keterbukaan semua pihak sama ada pemilik syarikat, buruhnya mahupun kerajaan.

Kalau syarikat tidak produktif, mereka tidak menjual, kita akan kerugian. Bila rugi akan timbulkan masalah kemudian hari. Untuk menentukan kos minimum gaji buruh, kerajaan mungkin perlu wujudkan lebih banyak insentif bagi mengatasi masalah ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Sektor apa yang menonjol di Indonesia yang menjadi minat Malaysia untuk membuat pelaburan dan menambahkanya?
MAXI GUNAWAN: Sudah pasti pertanian dan infrastruktur, kerana dalam pertanian itu ada penternakan. Semua itu adalah jaminan makanan negara, bekalan makanan yang berterusan dan konsisten.
Selain itu, ‘renewable enegry’ dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga fosil seperti petroleum dan arang batu.

Harga minyak sekarang kadang-kadang tinggi, sebab itu Indonesia perlu mencari tenaga alternatif yang lebih efisien, tenaga yang tidak tercemar dan mesra alam. Sektor perbankan sudah cukup di Indonesia cuma perlu diperkembangkan, tiada keperluan untuk menambah bank sedia ada. Kita punyai kekuatan dan kelemahan, Malaysia juga gitu, kerjasama yang kita mahukan.

Last modified on Thursday, 08 October 2015